Monday, January 21, 2008
Pisang Goreng Yang Paling Mahal
Petang hangat. Matahari terpacak di atas kepala membakar setiap helai bulu romaku. Aku mengheret malas kedua belah kakiku meniti tepi jalan yang berlopak dan berdebu itu.
"Mahu jimat ATP," otak kiriku cuba memujuk jirannya yang membantah fiil kaki yang diseret-seret longlai tidak bermaya lagak seorang baru kalah mapliau.
Jarum kontot di muka jam berdiri tepat antara nombor 5 dan 6. Masih ada dua jam lagi sebelum maghrib. Tekak kering semakin galak meronta-ronta mahu dimandikan dengan air. Namun perut yang rancak berkeroncong tadi sudah pun berhenti berbunyi, mogok lapar agaknya. Ah biarlah, 120 minit bukannya lama pun. Aku meneruskan langkah longlai menuju stesen komuter Setia Jaya.
Kutoleh ke kiri, ada gerai goreng pisang. Sungguh inviting. Pisang goreng emas itu kelihatan seperti jongkong-jongkong emas berkilau-kilau dimakan cahaya petang. Gulp! Aku menelan air liur yang sudah pasti tidak melangsaikan hutang lapar kepada perutku.
"Pakcik, pisang-pisang ni berapa yer harga?"
"Yang besar ni dua seringgit, yang ni empat seringgit, dan yang kecil-kecil ni enam seringgit," balas seorang lelaki separuh umur, tersenyum lebar kepada pelanggan mudanya.
Kuseluk poket. Ada dua helai note seringgit, dua keping syiling dua puluh sen dan lima keping sepuluh sen. Tambang ke liqo malam ini dua ringgit empat puluh sen. Dan selebihnya untuk aku 'berbelanja besar' mengisi nafsu perut di kala berbuka nanti.
"Yang kecil tu tiga ya pakcik," bisikku perlahan sambil menghulur lima syiling sepuluh sen. Mungkin disebabkan suara serak yang kedahagaan air. Mungkin disebabkan malu. Dan mungkin disebabkan kedua-duanya sekali.
Lelaki tua itu memandang aku dengan wajah hiba. Ah biarlah! Asalkan aku membeli juadah berbuka petang ini dengan wang yang halal.
Dia memasukkan seketul-seketul pisang goreng itu ke dalam plastik hijau.
"Satu, dua, tiga," aku mengira dalam hati. Inilah rezekiku pada petang asyura ini.
Namun tangan pakcik tadi masih lagi terus memasukkan pisang ke dalam plastik hijau sampai aku hilang perkiraan. Aduh! Apakah suaraku tadi perlahan benar sampai pekedai ini tidak mendengar pesananku? Ataupun kedai ini hanya menjual pisang goreng dengan harga satu ringgit dan ke atas sahaja? Hatiku benar-benar luluh dan hampa melihat pisang-pisang yang tidak mampu aku beli. Aku mendongak melihat ke langit untuk mengelak daripada airmataku luruh ke tanah.
"Nah dik. Ambillah ni," ujar lelaki tua itu sambil menghulurkan beg plastik hijau tadi yang separuh penuh dengan goreng pisang.
Beg plastik dan syiling bertukar tangan. Aku melangkah pantas beredar dari gerai kecil itu. Kepalaku masih lagi mendongak ke langit. Namun kini aku sudah tidak mampu lagi menahan serpihan-serpihan kaca hangat mengalir deras dari hujung mataku.
Terima kasih pakcik!
Terima kasih Tuhan! Kerana buat aku kenyang sebelum berbuka! Kenyang dengan rahmat dan kasih sayang Mu! Sungguh, Engkaulah Yang Maha Mendengar segala isi hati!
"Sesungguhnya Allah mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi; sesungguhnya Dia mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada." (al Fathir:38)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
weh ko kat KL ker... meh la jumpe..
aku kt cheras. wiken ni aku kt skolah adni ada qiyam. weh ko kontek zubir. last week zubir ada datang.
Post a Comment