Monday, January 21, 2008

10 tahun bersama al Mathurat


Mac 1998

Pada pagi Ahad selepas tazkirah solat subuh di Surau Aspura (Asrama Putera), kami pelajar tingkatan satu dikumpulkan beramai-ramai di bahagian hadapan surau. Jam menunjukkan pukul 6.50 pagi.

Ketua Pelajar ketika itu, Mohd Tazli Azizan, atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Tazli, menyuruh kami semua bersedia untuk membacakan al-Mathurat bersama-sama.

"Al Mathurat ni ape eh? Mungkin ini salah satu daripada surah-surah al Quran kot.. pasal ada perkataan 'al' kat depan dia," bisik hati kecilku yang masih lagi kebingung-bingungan ketika itu.

Alangkah malunya aku, apabila melihat teman-teman lain masing-masing memegang buku nota biru muda bersaiz poket. Rupanya hanya aku seorang yang salah ambil naskhah al Quran. Memandangkan tiada lagi buku mathurat di rak surau, maka aku berkongsi sahaja dengan seorang itu. Namun pagi itu, aku lebih banyak mumble (bak kata Mr Jeyarahman Intec) daripada membaca dengan jelas kerana inilah kali pertama aku membacanya.

Pengalaman pada pagi itu memberi aku semangat untuk lebih kerap membaca al mathurat supaya tidak lagi ketinggalan oleh teman-teman yang lain.

Mei 1998

Sudah sebulan lebih aku membaca al Mathurat setiap pagi Ahad (kerana hanya pada pagi ini akan ada tazkirah subuh, dan sudah kebiasaan setiap kali selepas tazkirah mathurat akan dilantunkan beramai-ramai oleh para jemaah). Berkat banyak berlatih, kini aku dapat membacanya dengan lebih lancar dan tanpa gagap-gagap lagi. Namun aku masih tertanya-tanya siapakah dia gerangan "Imam Hasan Al Banna" ini.

Memandangkan ayahku banyak membeli buku-buku kisah hikmah para wali dan ulama, aku sangat familiar dengan nama-nama ulama seperti Hasan Al Basri, Ibrahim Adham, Rabiatul Adawiyah (sekadar menyebut beberapa nama). Aku kira, mungkin Hasan Al Banna ini sezaman dengan Hasan Al Basri kerana nama mereka pun lebih kurang.

Seorang naqib tingkatan empat yang kebetulan duduk disebelahku kemudian menjelaskan kepadaku dengan lebih detail tentang Hasan Al Banna ini.

"Dia ni dulu tinggal di Mesir. Pada tahun 50-an dia mati syahid ditembak oleh pemerintah Mesir ketika sedang membuka pintu keretanya. Kalau kamu membawa al Mathurat di Mesir, kamu akan dihukum penjara!!" kata abang itu dengan nada tegas dan bersemangat.

Wah! Semenjak hari itu, aku semakin bertambah bersemangat untuk membaca al Mathurat dengan lebih bersungguh-sungguh.

1999

Kini aku sudah bergelar pelajar tingkatan dua di sekolah berasrama penuh ini. Tiada lagi undang-undang asrama yang mewajibkan aku turun ke surau pada pagi ahad, maka al Mathurat pun makin jauh dari bibirku yang mula kering oleh basahnya zikir ini.

Kini aku sudah senior, maka aku seboleh-bolehnya ingin membezakan diriku dari apa yang dilakukan oleh junior, kalau junior beratur masa makan, aku potong; junior solat awal, aku lewat; junior tuck in, aku tuck out; junior pegi prep, aku ponteng; junior study, aku tidur; dan banyak lagi perkara-perkara bangang yang aku lakukan yang tidak terfikir olehku ketika menjadi junior dahulu, walhal jarak waktu antara keduanya tidak sampai 12 bulan.

Namun pada satu petang ketika aku ponteng prep, hatiku berasa kosong sekali. Walaupun hujan di luar tingkap mencurah-curah membasahkan setiap inci tanah di sekolah, aku berasa sungguh kontang di dalam kalbu ini. Secara spontan kakiku membawa badan yang malas ini di tempat yang suatu ketika dahulu memberi ketenangan kepadaku, surau.

Di surau, aku mengambil senaskah al Mathurat yang seolah-olah memanggil-manggil aku untuk dibaca. Aku mula membacanya, dan ketika aku mula melantunkan doa rabithah, secara tidak aku sedari manik-manik kaca mula pecah di hujung mataku. Dan pada saat itu aku berazam untuk sama sekali tidak meninggalkan al mathurat pada masa yang akan datang.

2000

Disebabkan masalah kesihatan dan keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan di SBP (aku jatuh daripada top 5 kepada nombor 25), ibu bapaku mengambil keputusan untuk aku belajar di sekolah berhampiran dengan rumah sahaja untuk menghadapi PMR. Di rumah aku menjadi kaki study dan juga kaki bola. Sekali lagi al mathurat kutinggalkan. Ayat-ayat dan doa-doa yang dahulu berumah di hati dan bibir seolah-olah turut sama berpindah keluar daripada diriku pada saat aku berpindah sekolah dahulu.

2001-2002

Aku kini belajar di sebuah sekolah asrama di kaki Bukit Larut. Ya benar, nampaknya al mathurat memang gemar bermastautin di surau-surau sekolah agama. Sekali lagi aku memulakan kisah baru dengan al Mathurat. Kini setiap pagi dan petang aku membacanya tanpa jemu, tetapi dengan niat yang agak terpesong, "Aku mahu straight A's". Walaupun al mathurat kini sudah menjadi halwa lidah dan telingaku, namun kemanisannya kini sudah tiada.

2003 - kini - (selamanya? insyaAllah)

Wamakaru wamakarallah, wallahukhairul ma kirin. Benarlah percaturan Allah itu lebih baik daripada segala apa perancangan kita. Aku ditempatkan di Sunway College (Darul Maksiat). Suasana di sini yang sungguh berbeza dengan atmosfera bersih di kampung menyebabkan iman aku benar-benar tercabar. Dengan pelajar yang pelbagai bangsa datang dari Hong Kong, Jepun, China, Australia, Yemen, Arab Saudi, Sri Lanka, India, Pakistan (sekadar menyebut beberapa negara) berada di sini seolah-olah sebelah kaki sudah pun berpijak di luar negara.

Hatiku penasaran setiap kali melihat maksiat bergayut-gayut di hadapan mata. Kini aku benar-benar desperate untuk mencari cahaya agar diriku selamat. Alhamdulillah, dalam kegelapan zulumat inilah aku berjumpa dengar Nur. Syukur pada Allah, dalam suram kelam hitam ini, masih ada lagi hati-hati yang ikhlas dan bertazakka (suci dan menyucikan) diri kepada Allah.

Aku berjumpa dengan cinta sejati, cinta kepada Allah yang dilemparkan pada hati-hati pemuda yang ikhlas dan optimis dengan kegemilangan Islam. Maka setiap hari, kami melantunkan zikir-zikir dan doa dalam al Mathurat untuk menguatkan azam kami, menyucikan qalbu kami, dan mengikat hati-hati kami untuk sentiasa menyayangi lillahi taala.

Kami juga belajar bahawa kami adalah sebahagian daripada rantai-rantai islam yang tidak akan putus semenjak perutusan Nabi Adam a.s sampailah ke hari ini. Lontaran doa' rabithah ini dilafazkan oleh hati-hati yang cinta kepada saudaranya dari fajarnya Yokohama hinggalah senjanya California. Dan Allah akan sentiasa merahmati, mencintai golongan pemuda yang cinta kepada-Nya dan saling berkasih sayang sesama muslim dan izzah kepada yang musuh-Nya.

Semoga Allah mengikat hatiku agar aku menjadi salah satu daripada rantai-rantai yang menjadi penyambung dalam rantaian dakwah ini.

Amin.

5 comments:

pengembara said...

indah2.....sunway2....

Persatuan Mahasiswa Perak Universiti Malaya (PEMARAK) said...

sunhanaAllah~

penulisan ni buat diri ni makin rindu nk bc mathurat,,

kadang2 on..kadang2 off iman ni kan,,
YaAllah,semoga kami istiqamah dlm ibadah ~
tande cinta kami kepda mu Ya Allah.

thanx 'makan nasik',its a nice blog to reread .
:D

InsyaAllah.kiter same2 amalkan bacaan mathurat ni yer..
insyaAllah.

JZ said...

terima kasih banyak2..saya dalam ting 3 dan saya taktau apa itu al-mathurat tp setelah saya baca post abang, saya sedih dengan diri saya. bukan nak kongsi keaiban saya, saya cume nak berterima kasih sebab abang, saya pon bertekad nak belajar membaca al-mathurat..terima kasih..semoga Allah memberkati hidup abang sekeluarga dunia dan akhirat..

midae said...

alhamdulillah..
sy pn sm ..
skjp on skjp off..
tp semangat al-mathurat ni membuatkn sy lebih syg pd agama dan lbh mendekati dgn Allah..
luv Islam forever.

Unknown said...

alhamdulillah ....seronok membaca kisah ni ....^_^