Monday, September 24, 2007

Ar Risalah edisi Ramadhan 1428!!

Assalamualaikum wrh wbt!!


Buletin Ar Risalah Edisi Ramadhan yang ditunggu-tunggu telah siap! Dapatkan segera, hanya perlu download dari link di bawah. Percuma!! :)


Assalamu'alaikum wt,

Para pengunjung paksi.net yang dimuliakan,

Sehubungan dengan bulan Ramadhan Al Mubaarak yang mulia ini, kami menjemput anda semua untuk mendapatkan naskah hand-out Ar-Risalah yg PERCUMA ini utk bacaan & edaran. Sila klik ke link di bawah untuk mendownload buletin Ar-Risalah tsbt .

Buletin Ar-Risalah versi 2007 memuatkan santapan-santapan rohani dan panduan di bulan Ramadhan ini . Tidak ketinggalan juga ruangan penyegar minda senario ramadhan paksi.

Sila dapatkan segera dengan PERCUMA dan edarkan kepada rakan-rakan anda untuk berkongsi amal kebaikan di bulan yang penuh barakah ini.

Kami juga berbesar hati untuk menerima cadangan-cadangan pembaikan dari pembaca untuk terbitan seterusnya.

Selamat beramal yg terbaik di bulan yg mulia ini!

Wassalamu'alaikum
~Paksi~

links:
Ar Risalah edisi Ramadhan (updated 13 August 2012)


p/s: Mahu menyumbang dalam penerbitan Ar Risalah? sila hubungi saya di email.
p/s2: Segala komen yang membina amat dialu-alukan

Tuesday, September 18, 2007

Kisah di Bulan Ramadhan

Tulisan akh Lutfi, Saudi Arabia


Kisah di bulan Ramadhan

"Dalam dunia ini bermacam-macam Universiti ada. Ada universiti Oxford, ada universiti Madinah, ada universiti Al-Azhar, universiti Harvard dan macam-macam lagi universiti di dunia ini. Namun pernahkah anda mendengar universiti Ramadhan?" Soal pensyarahku dr. Alghamidi di suatu pagi yang hening di dalam kelas takhassus lughawi wa tarbawi.

" Ishh.. universiti negara maner pulak yang ada kena mengena dengan nama bulan ramadhan ni?" getus hatiku.

"Sehebat-hebat universiti di dunia ini tiada universiti yang dapat melawan universiti Ramadhan suatu kinayah kepada bulan ramadhan yang mubaarak ini." Syarah beliau.

" Ramadhan adalah salah satu bulan yang paling mulia dalam Islam." Beliau menambah. Berapa ramai daripada kalangan kita yang bercita-cita untuk menemui bulan ramadhan tapi mati di bulan syaaban? Berapa ramai daripada kita yang berangan-angan berterawikh dan bertaubat di bulan ramadhan tapi mati di akhir syaaban?" satu soalan yang kukira amat menikam kepala sendiri.

"Ramadhanlah universiti yang akan memberikan sijil kepada pelajarnya apabila telah lulus dengan cemerlang di dalam proses tarbiah sepanjang sebulan lamanya. Allah telah berfirman dalam surah al-baqarah,
كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم...
Iaitu Allah akan memberi sijil puasa yang berjaya kepada mereka yang berjaya di dalam peperiksaan di bulan Ramadhan. Soalannya, berapa ramaikah daripada pelajar yang memasuki universiti Ramadhan, namun lulus dengan cemerlang? Ramai daripada kita kebanyakannya gagal di dalam menempuh peperiksaan di universiti yang hebat ini." Hurai Dr. Al-Ghamidi lagi. Aku tambah berminat mendengar tajuk universiti seperti yang diutarakan oleh beliau.

"Adakah jantung kita berpuasa?"soal Dr. Al-Ghamidi kepada Khatam Jaan Ikram Jaan. "err.. Jantung mana boleh berpuasa dr. Kalau jantung kita berpuasa, matilah kita." Kedengaran gelak daripada rakan-rakan ku yang lain termasuk aku mendengarkan jawapan daripada Khatam Jaan yang berasal daripada Azerbaijan.

"Jawapan lain? Siapa yang boleh menjawab soalan saya?" tanya dr. Al-Ghamidi lagi sambil membetulkan cermin matanya dan melontarkan pandangan kepada pelajar yang lain.

"Baiklah, maksud jantung berpuasa ialah menahan jantung kita daripada berperasaan marah, hasad, dengki, riak dan pelbagai lagi perasaan yang boleh merosakkan jantung majazi kita. Bukan ia bermakna hakiki." Jelas Dr. Al-Ghamidi. "Uishh.. apa jantung pun ada hakiki ada majazi nih.??"makin menarik ulasan beliau.

"Jantung akan berbuka dengan perkara iman, ibadah yang khusyuk dan segala perbuatan yang hasanah." Sambung beliau.

"Lisan juga berpuasa." Sambil berkata, beliau membetulkan syimagnya yang kelihatan senget.

"Cuba kita gunakan teknologi canggih hari ini, seperti satu pita rakaman kecil yang membolehkan kita letakkan ia di dalam poket selama satu hari."

"Rakamkan percakapan kita dalam sehari. Di akhir hari, kita mainkan kembali apa yang kita ucapkan dari pagi mula-mula kita rekodkan perbualan harian kita."

"Di dalam sehari itu, berapa kalikah kita menyebut nama Allah? Kita baca ayatNya? Sebut nama Rasulullah?" soal beliau kepada pelajar di hadapannya termasuk aku. Gulpp.. payah jugak tuh..

"Mata juga berpuasa. Iaitu berpuasa daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Contoh yang paling mudah ialah berapa kali sehari anda menonton televisyen? Apakah di dalam televisyen tersebut memaparkan semua ciptaan Allah yang halal untuk ditonton??" Arrgghh.. terlalu menikamnya soalan beliau. Aku mencongak, paling kurang dalam sehari tak lari daripada menonton MBC 1,2,3,4 dan Dubai One. Itu akulah. Selebihnya ada lebih kurang 995 channel lagi. Tak sempat masa. Kalau sempat aku bedal jugak…

"Itu belum dikira dari apa yang dilihat di dalam majalah, komputer, internet, telefon 3G (wah, canggih juga ustaz ni, tahu apa dia 3G ) hatta di masjidil haram sekalipun."

"Rasulullah s.a.w. pernah bersabda mafhumnya :- mereka yang melihat kepada perkara yang diharamkan oleh Allah akan dipenuhkan matanya dengan bara api jahanam." Hurai dr. Al-Ghamidi lagi.

"Mungkin ada di antara kita yang berkata aku tak takut pada bara api di akhirat nanti. Cuba kita ambil sebatang mancis, nyalakannya kemudian cucuh di dalam mata orang yang berkata itu. Adakah dia sanggup menahan pedih hasil percikan api itu? Atau mudah cerita, ambil sahaja arang yang telah dibakar kemudian cucuh matanya. Adakah matanya itu boleh menahan arang tersebut?"

"Telinga juga berpuasa. Iaitu dari mendengar umpatan, kata-kata nista, cacian, fitnah, dan juga muzik2 yang diharamkan di dalam Islam." Namun hari ini kita terpaksa berusaha untuk mengeluarkan diri daripada pengaruh muzik dalam kehidupan seharian kita akibat terlalu banyak muzik yang dimainkan di atas muka bumi ini. Contoh mudah adalah di dalam telefon masing-masing. Jarang yang tak letakkan muzik di dalam 'ringing tone'." Hehehe.. pedas weh!~ Linkin Park, My Chemical Romance, Mawi, Avril Lavigne, Shereen, Maryam Feres, Rihanna, Muse, Spider, dan yang sewaktu dengannya.. hehehe

Last2 sekali dia nyatakan tangan juga berpuasa. "Macamana?? Iaitu daripada memegang remote dan memutarkan rancangan2 yang dilarang oleh Allah, menaip sms yang dilarang oleh Allah, memegang rokok yang dilarang oleh Allah." Slow jer dia bantai.

"nasi halal ke haram?" eh, takkan nasi pun haram ust?

"halal!!" jawab memurid di depan. Macam darjah satu pulak.

"Kita menahan diri daripada memakan nasi, roti dan sebagainya yangdihalalkan oleh Islam, tapi kita tak dapat tahan diri kita dari berbuka dengan rokok yang diharamkan oleh Islam. Cuba perhatikan berapa ramai yang berbuka dengan rokok?? " kuikui.. soalan yang anda jawablah sendiri..

"Jika kita dapat menahan semua anggota kita daripada perkara yang disebutkan tadi, insya allah kita akan menemui kemanisan di dalam universiti Ramadhan ini. Latih diri kita di dalam marhalah universiti Ramadhan ini untuk berjaya di akhir graduate kita iaitu sebelum syawal nanti. Latih dan istiqamah diri anda insya allah bulan ramadhan pasti akan anda tangisi pemergiannya. Memang manusia semuanya tidak sempurna namun berusaha dan Ramadhan inilah peluang untuk melatih diri anda dan berubah menuju kejayaan yang cemerlang." Kata syeikh al-ghamidi sebelum mengakhiri kelas beliau pada hari ini.

"Berikut saya lakarkan jadual supaya anda boleh khatamkan quran sebanyak 5 kali di dalam bulan ramadhan ini kerana bulan Ramadhan diturunkan padanya Al-Quran. Kalau boleh khatam 60 kali seperti imam syafie lagi bagus." 60 kali???

Purata orang membaca quran satu juzuk paling tidak pun ambil masa 30 minit.

Sebelum subuh 15 minit habiskan 1/2 juzuk. Selepas subuh 1/2 juzuk = 1 juzuk
Sebelum zohor 15 minit habiskan 1/2 juzuk. Selepas zohor 1/2 juzuk = 1 juzuk
Sebelum asar 15 minit habiskan 1/2 juzuk. Selepas asar 1/2 juzuk = 1 juzuk
Sebelum maghrib 15 minit habiskan 1/2 juzuk. Selepas maghrib 1/2 juzuk = 1 juzuk
Sebelum isyak 15 minit habiskan 1/2 juzuk. Selepas isyak 1/2 juzuk = 1 juzuk

Berapa juzuk satu hari??

5 juzuk.

Kalau 6 hari??

30 juzuk..

Kalau 12 hari??

60 juzuk = 2 kali khatam quran

Kalau 18 hari??

90 juzuk = 3 kali khatam quran

Kalau 24 hari??

120 juzuk = 4 kali khatam quran

Kalau 30 hari??

150 juzuk = 5 kali khatam quran.

Eh, betul ker??

Masa aku duk mengira tu, beliau dah blah keluar dari kelas..

Monday, September 17, 2007

Kesilapan dalam bulan Ramadhan

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Oleh: Ust Hj Zaharuddin Hj Abd Rahman

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112). Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam . Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain . Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam. Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)

4) Menunaikan solat witir sejurus selepas terawih . Menurut dalil-dalil yang sohih, waktu yang terbaik bagi solat witir adalah penutup segala solat sunat di sesuatu hari itu berdasarkan hadith ertinya "Jadikanlah solat sunat witir sebagai solat kamu yang terakhir dalam satu malam". (Fath al-Bari, no 936). Sememangnya tidak salah untuk melakukan witir selepas terawih, cuma sekiranya seseorang itu yakin akan kemampuannya untuk bangun bersahur dan boleh melakukan solat sunat selepas itu, maka adalah lebih elok ia melewatkan witirnya di akhir malam.

5) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

6) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih . Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

7) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah . Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

8) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.

9) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat . Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

10) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur . Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

11) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat . Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka . Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )
Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Ar Risalah Edisi Ramadhan (Sept 2007)

Assalamualaikum wrh wbt!!


Buletin Ar Risalah Edisi Ramadhan yang ditunggu-tunggu telah siap! Dapatkan segera, hanya perlu download dari link di bawah. Percuma!! :)

Ar Risalah Ramadhan (RapidShare)

p/s: Mahu menyumbang dalam penerbitan Ar Risalah? sila hubungi saya di email.
p/s2: Segala komen yang membina amat dialu-alukan

Wednesday, September 12, 2007

Monday, September 10, 2007

ISK Nusantara

Assalamualaikum wrh wbt

Blog "Sejarah Realiti Islam Negara Kedah" mengupas teori datangnya Islam dari sebelah utara tanahair. Sangat menarik untuk para pengkaji sejarah. Cepat-cepat baca sebelum Ramadhan sampai! :P
"Empire of the Great Monggol", Peta tahun 1744 ini menunjukkan kebesaran Kerajaan Islam Monggol di India dan sebahagian Kerajaan Benua Islam Siam Nagara Kedah termasuk Toung Oo, Siam, Langkasuka, Acheh dan sebahagian Melaka. Sebab itulah dalam mengkaji sejarah bangsa melayu perlu skop yang lebih besar dan tidak fokus kepada jajahan Malaysia hari ini sahaja. Kerajaan Siam Islam bercantum dengan Kerajaan Monggol India apabila Zahiruddin Babur Syah berkahwin dengan Mahin Inta Tiral @ Tunku Nur Aisyah ibni Sultan Rijaluddin Mohammad Johan Syah (Parameswara Melaka), dalam tahun 1530.

Boleh sambung baca di sini "Sejarah Negara Kedah"

Saturday, September 08, 2007

Komik Ramadhan

Assalamualaikum wrh wbt

thumb-1.jpg picture by amar_kun
Boleh baca di sini.

Komik ini ana lukis sempena Ramadhan dan diletakkan di bawah kategori "Ramadhan Special" di Paksi.net

Thursday, September 06, 2007

Artikel-artikel Ramadhan

Assalamualaikum wrh wbtSya'aban sudah pun tiba ke penghujungnya . Derap tapak kaki Ramadhan sudah pun sayup-sayup kedengaran, semakin hari semakin mendekati.

Persoalannya, adakah kita semua sudah bersedia menyambut bulan mulia ini?

Di bawah saya sertakan sedikit tazkirah-tazkirah buat bekal menemui Ramadhan, semoga kita semua dapat mengoptimalkan Ramadhan kali ini.

Himpunan artikel sempena Ramadhan


wallahua'lam

Wednesday, September 05, 2007

Tutorial Membuat Badge dengan PhotoShop 7.0

Assalamualaikum wrh wbt.


Berminat untuk belajar buat design Badge dengan menggunakan Adobe PhothoShop?

Boleh belajar di sini.


Kredit kepada yeekeru10 atas penggunaan gambar Peace_brother beliau. Jazakillahukhairan katheera.

Tuesday, September 04, 2007

Ar Risalah


Nantikan kemunculannya berhampiran dengan anda.
Gratis*!

gratis = percuma

Monday, September 03, 2007

Sepetang Iftar bersama Palestina


Petang ramadhan itu
kusuap beriyani rindu
lauknya sepinggan ceria
di sisi segelas bahagia.

Di kejauhan sana
kaujamah roti-roti luka
kuahnya semangkuk sengsara
ditemani secangkir air mata

Puasa itu ibarat pohon,
bunganya iman, taqwa buahnya,
rantingnya ukhuwah, ithar daunnya.

Senja itu,
bunganya kuncup tidak mewangi,
buahnya pahit tidak bersemi,
rantingnya patah tidak berganti,
dedaunannya kering tak siapa peduli.

Maafkan aku Palestina
sore ini, daun-daun ithar gugur lagi.

Ibnu Umar
Leeds
3 September 2007

iftar = buka puasa
ukhuwah = persaudaraan
ithar = mengasihi sahabat melebihi diri sendiri

Monolog Iftar Ramadhan


Monolog Iftar Ramadhan

Petang ramadhan itu
aku disuap beriani rindu
berulamkan sepinggan tawa, ceria, bahagia.

Di sana engkau merasa
roti keras berinti sengsara
berkuahkan semangkuk air mata, luka, duka.

Lapar kita sama
puasa kita jauh berbeza

Maafkan aku, wahai Palestina
hari ini, itsar masih lagi tiada
hilang sudah bisikan cinta
yang tinggal cuma rintihan derita.

Ibnu Umar,
Leeds.
3 September 2007.

iftar = buka puasa
itsar = mengasihi sahabat melebihi diri sendiri