Thursday, August 30, 2007

Lagu Sempena Merdeka

Seloka
Lirik/lagu: M. Nasir
Artis: Tan Sri S M Salim/ M. Nasir


satu masa telah silam
tak dapat diambil kembali
melayu masyhur serata alam
hidup mewah gagah sekali
pahlawan kita nama terbilang
ditakuti ramai perwira

melawan musuh tak terbilang
gerak semangat kerana bangsa


kelekaan jangan dikenang
lautan duka kelak direnang
hampir tinggal sehelai benang
bencana jangan sengaja dipinang
jika perhati bangsa dagang
kapak beliung ditangan memegang

kekayaan hendak diregang
akhirnya saudagar pangkat dijulang

disulami syair termasyhur
usahlah berdengkur
kita jua yang bertafakur
yang mana khilaf tegur menegur

lala lalalalalala

kulitnya bersih hati pun bersih
budi yang baik hatinya pengasih
kulitnya bersih hati pun bersih
memikul belati tiada memilih
jadikan bersih hati pun putih
berkata benar bermulut fasih
jadikan bersih hati pun putih
dialah khazanah pintu terpilih

aa..aa..

awak yang payah membelah ruyung
orang bertandang yang beroleh untung
akhirnya kita tak akan dihitung

p/s: lagu di atas ini akan memberi makna yang lebih besar kalau:
1) rangkap pertama, baris ketiga, perkataan pertama ditukar menjadi "Islam"
2) rangkap pertama, baris kelapan, perkataan keempat ditukar menjadi "Allah"
:)

Wednesday, August 29, 2007

Gambar Camping

Assalamualaikum wrh wbt

Saya baru sahaja balik dari Camping di Wales. Ini adalah antara gambar-gambar yang sempat diambil untuk tatapan para pembaca. :)



Catatan Ringkas Outdoor Camp 2007 oleh khuledth

Cerpen: BK

Assalamualaikum wrh wbt
Cerpen di bawah ni bukan tulisan saya. Tetapi sekadar berkongsi dengan pengunjung-pengunjung blog ini yang saya kira rata-rata relevan dengan topik ini. Semoga cerpen ini mampu membuka minda dan hati anda semua.

BUKAN AKHAWAT

Adib menggerakkan kesepuluh jarinya ke belakang, menyisir rambut di kepala. Ikalnya seketika kusut. Wajahnya pula sedikit sugul. Satu helaan nafas panjang, menandakan kegelisahan hatinya, juga tatapan mata yang hanya berputar-putar tanpa ada titik perhatian yang bererti.

"Aku penat, Muaz", keluh Adib.

Muaz, sahabat baik Adib yang sekarang menjadi `tong sampah' menatap Adib dengan kasihan.

" Kau menyesal?"tanya Muaz.

Adib mengangkat wajahnya. Matanya menerawang sesaat. Ragu.

" Entahlah. Kalau ya sekalipun…untuk apa lagi? Aku tidak mungkin akan meninggalkannya. Semua orang akan mentertawakanku, menghinaku", keluh Adib lagi. " Aku…"

" Dia pilihan kau sendiri. Aku masih ingat lagi, kau cakap…kau terlanjur menaruh hati. Kamu berdua terlalu dekat. Sebab tu kau nak sangat berkahwin dengan dia. Malah kau berusaha sungguh-sungguh agar dia akrab dengan akhawat-akhawat yang sudah sekian lama berkecimpung dalam dakwah. Kau mengharap sangat dia menjadi seperti mereka, minimum mungkin, dan mula faham dunia itu. Kau juga menolak keras ketika aku dan juga sahabat-sahabat kita yang lain, bahkan ustaz sendiri, menawarkan pilihan lain", Muaz seolah-olah mengingatkan kembali peristiwa itu.

" Ya, aku tidak lupa semua tu. Habis macam mana? Kami dah lama kenal, sama-sama menjadi ahli jawatankuasa belia kat kampung kami tu, dan terlanjur hubungan kami pula terlalu akrab. Malah aku terlanjur bertanya tentang kesudiannya menjadi pendampingku. Dia pula tidak
menolak. Keluarganya pula sudah tahu kalau aku ni berniat untuk itu. Mereka tidak lagi menganggap kami ini sekadar teman biasa, tapi lebih dari itu. Habis…kalau aku berkahwin dengan orang lain macam mana pula…", Adib menisir rambutnya lagi.

Muaz semakin kasihan. Ah, satu pelajaran paling berharga untuknya yang masih belum menggenapkan dien. Jangan sebarangan melakukan hubungan dengan perempuan, lebih-lebih lagi memberikan harapan. Yang jelas jangan sebarang memilih pasangan.

Adib sudah mendirikan rumah tangga. Isterinya walaupun bertudung rapi, namun bukanlah seorang yang faham tentang dinamika dakwah dan pergerakannya. Dia tidak mampu memahami segala kesibukan suaminya yang kadang-kadang perlu pulang lewat malam malah kadang-kadang perlu menginap di tempat lain. Dia juga sukar diajak ke program-program dakwah yang digerakkan oleh bekas aktivis dakwah kampus. Malah dia tidak suka berbual soal fenomena dan keadaan dakwah apatah lagi tentang permasalahan umat. Itulah yang Adib keluhkan ketika ini. Dia berasa bosan dan penat untuk berhadapan dengan semua itu.

" Kau ni pelik", rungut Muaz.

" Maksud kau?" kening tebal Adib bertemu seolah-olah pelik dengan kata-kata Muaz.

" Sepatutnya bila kau dah tahu ini jadinya, kenapa pula kau nak mengeluh sekarang? Tugas dan tanggungjawab kaulah nak memahamkan dia, nak fahamkan dunia dakwah kau tu", tegas Muaz.

Adib menghela nafas panjang. Dia juga tahu semua itu. Tetapi sekarang tugas tersebut terasa begitu berat dan terlalu membebaninya. Wahida bukanlah isteri yang tidak cekap mengurus rumah tangga, juga bukan seorang yang suka membangkang. Cuma dia hanya berasa cukup dengan itu sahaja. Padahal Adib mahukan isterinya berubah. Dia mahukan isterinya seperti akhawat-akhawat yang dia kenal, yang mempunyai visi tentang dakwah, aktif, dan sudah pasti mampu berkomunikasi dengannya tentang permasalahan dakwah.


" Kau tak kasihankan aku ke, Muaz? Ketika ikhwah-ikhwah lain sudah bergerak ke sana ke mari, aku masih lagi perlu menjelaskan pada Wahida, mengapa aku perlu begini. Ketika kamu semua sedang sibuk membangunkan mimpi, aku masih lagi terkujat dengan partnerku yang juga kuajak membangun mimpi. Seandainya…"

" Seandainya kau berkahwin dengan akhawat yang memahami, yang se idea, jelas kau tidak perlu melakukan semua itu. Malah boleh jadi, isteri kau membuatkan kau semakin laju. Begitu?" Muaz terus menyambung kalimat Adib yang tergantung.

" Ya. Bukan fikiran yang salah, kan? Kesempatanku masih ada lagi tiga kali", kata Adib dengan nada putus asa.

Muaz menggeleng-gelengkan kepalanya.

" Ta'adud bukan pelarian. Dalam keadaan sebegini, aku sangsi kau tidak mampu berlaku adil. Lupakan semua itu dulu", tegur Muaz.

Sekumpulan akhawat melintas di hadapan mereka. Kata-kata ustaz ketika dia mengkhabarkan tentang perkahwinannya, seketika terngiang-ngiang di telinga Adib.

" Mengapa dia? Antum mahukan akhawat yang macam mana? Insya Allah ana akan carikan. Yang kaya? Yang cantik? Yang cerdas? Yang sudah bekerja?" tanya ustaz.

" Afwan, ustaz, Saya sudah ada pilihan", tegas Adib.

" Akh Adib…akhawat kita yang sudah berumur dan sudah bersedi berkahwin, ramai. Mereka menunggu kamu semua, para ikhwah. Antum tahu, secara kuantitinya, perkembangan kader ikhwah dan akhawat, selalunya lebih ramai di kalangan akhawat. Sebab itu…seharusnya setiap ikhwah bersedia untuk berkahwin dengan mereka", jelas ustaz sabar.

" Wahida memang tidak seperti akhawat-akhawat lain, tapi dia sangat baik", jelas Adib.

Ustaz tersenyum. Beginilah kalau terlalu mengikutkan hati.

" Ana tidak menolak itu semua. Tetapi sebuah rumah tangga dakwah harakiyah, memerlukan lebih dari sekadar baik. Baik sahaja tidak cukup. Isteri antum perlu orang yang faham konsep tersebut. Dia sentiasa bersiap sedia bersama antum di dalam dakwah dan pergerakan. Malah dia bersedia menanggung beban dan pengorbanan. Ini bukan dalam tempoh masa setahun dua tahun, Akh. Proses membentuk karakter seperti ini juga memerlukan waktu yang panjang. Antum perlu menyediakan sesuatu input dan waktu khusus untuk membawa isteri antum ke sana. Entah berapa lama. Jadi…mengapa tidak menikahi sahaja yang sudah jelas kualitinya?" desak ustaz.

" Afwan ustaz. Sekali lagi, saya sudah menetapkan pilihan. Saya datang ke mari bukan untuk minta pertimbangan tetapi sekadar pemberitahuan", tegas Adib.

Sekarang? Kata-kata ustaz terbukti sudah. Walaupun Adib yakin ustazm tidak mengolok-olokkan dia, malah dia mahu membantu, tetapi Adib tidak ada keberanian untuk datang dan menceritakan masalahnya. Rasanya…seperti tidak tahu mahu letak mukanya di mana. Sebab itu dia mencari Muaz.

" Kalau kau tak terlalu mengikut perasaan dan berfikir labih jauh, juga mempunyai keberanian, kamu mampu sahaja mebatalkan pinangan tidak rasmi kamu tu dulu.kau bagitau sajalah kau dah ada kriteria tertentu tentang calon isteri, ya memang agak risiko. Tapi itu akan seiring berjalannya waktu. Yang jelas kamu bukan seperti sekarang", Muaz berandai-0andai.

" Muaz, itu cerita lama. Sekarang ni aku mahukan penyelesaian untuk keadaan diriku sekarang!", ujar Adib kecewa.

Muaz ketawa. Hati Adib benar-benar menjadi marah.

Deringan telefon berbunyi membuatkan Adib tersentak seketika. Wajahnya berubah tiba-tiba ketika menatap skrin telefonnya.

" Waalaikumusslam. Abang dengan Muaz ni. Kenapa? Ya, lepas abang selesaikan urusan abang, abang kan balik. Walaikumusslam", Adib mengakhiri perbualannya.

" Siapa? Isteri kau ye?"tanya Muaz.

Adib mengangguk.

" Dia selalu saja mahu tahu ke mana aku pergi. Manja. Mahu aku ni bersama dengan dia je", keluh Adib.

" Kau ni mengeluh lagi. Bagaimana dengan cinta yang dulu yang kau jadikan alasan? Kau masih mencintainya, kan? Begitu juga dia?" pancing Muaz.

Adib tersenyum samar. Cinta. Benarkah? Apakah dulu layak disebut cinta? Jangan-jangan hanya sekadar suka. Yang ada waktunya itu hanya perasaan ingin menjadikan orang yang setiap ketika dia mendekati. Bisa ia dipandangi. Entah apa itu namanya.

" Jangan bicara soal cinta. Aku juga sedang mencarinya", jelas Adib pasrah.

Suara azan Asar mengejutkan kedua-duanya. Muaz menepuk bahu Adib, mengajaknya segera solat. Semoga selesai menghadapNya, mereka mampu melihat jalan keluar dan titik yang lebih terang dalam permasalahan ini. Ternyata selepas solat, Adib mengambil keputusan untuk pulang. Dia tidak mahu isterinya merajuk kerana terlalu lama menunggu. Dalam keadaan normal, Adib biasa pulang darin pejabatnya pukul satu, bertepatan dengan waktu makan. Muaz hanya mengangkat bahunya.

" Kalau kau masih mahu menceritakan masalah kau, aku bersedia untuk mendengarnya, Adib! ", Jerit Muaz ketika motorsikal Adib laju meninggalkan halaman masjid. Adib hanya melambaikan tangan.

Malam berjalan menuju separuhnya. Suara cengkerik dan sesekali selaan bunyi burung hantu, menimbulkan suasana khas yang terkadang menegangkan. Adib menyandar ke dinding, menatap sosok tubuh yang sedang nyenyak tidur.

Wajah itu belum banyak berubah. Juga senyumannya. Sesuatu yang sempat menggetarkan perasaan Adib. Bahkan menimbulkan keinginannya untuk selalu menatap. Sekarang? Entahlah. Padahal, mereka baru sahaja berkahwin dua tahun.

Mungkinkah kerana Wahida tidak lagi berubah seperti yang diharapkan? Atau Adib mula penat dengan semua hal yang dia fikir mampu dimaklumkan? Atau….Adib mula putus harapan? Bukankah dia sering iri hati ketika melihat pasangan ikhwah dan akhawat yang bersemangat datang ke program-program meraka. Juga ketika melihat ummahat yang aktif menguruskan yayasan, lembaga, atau sarana dakwah lainnya. Oh, bahkan dia sempat bergetar perasaannya ketika bekerja sama dengan akhawat yang masih bujang, ketika sama-sama menguruskan beberapa kerja dalam program dakwah. Kadang-kadang dia rasa macam mahu menutup telingannya ketika teman-teman sepengajiannya bercerita tentang dinamika rumah tangga mereka yang tidak pernah terlepas dari dakwah dan ibadah. Adib mengeleng-geleng.Resah.

Ditatapnya wajah Wahida kembali. Wajah yang sering mengundang rasa sayang. Perasaan yang tidak pernah tega. Bukan seperti wajah para akhawat yang dia kenal. Wajah mereka tegas dan penuh kepercayan pada diri. Hanya kadang-kadang saja dia mampu menikmati kelembutan atau kemanjaan yang seolah-olah sengaja disembunyikan.

Astaghfirullah…Adib mengusap wajahnya. Mengapa aku tidak mampu bersyukur? Mengapa aku menumpahkan semua penyebab kerisauan hati kepada Wahida? Benarkah dia tidak bersalah sama sekali? Tidak. Jangan–jangan , sikap Wahida yang begitu lambat berubah, kerana sikap Adib sendiri. Boleh jadi Adiblah yang terkesan memaksakan kehendaknya.Mengajaknya menembusi dunia yang jauh berbeza, tanpa ada tahapan. Benar kata ustaz, Adib perlu menyediakan input terbaik dan waktu yang lebih, jika benar-benar mahu Wahida seperti yang dia kehendaki. Dan, kesabaran adalah kunci utama dalam proses panjang itu. Sebagaimana Adib sendiri mengalaminya sejak sekolah menengah dulu.

Jelas, Adib mengenal Islam lebih mendalam sejak di tingkatan enam rendah di sekolah menengah, kemudian mula aktif di kampus sehinggalah sekarang , dalam dunia pekerjaan. Proses itu terus berjalan. Berapa tahun? Tujuh tahun! Bagaimana mungkin dia mahuklan Wahida sepertinya dalam hitungan satu dua tahu ini? Secerdas dan seaktif apapun Wahida, dia tetap tidak akan mampu dipenuhi.Kata-kata Ustaz benar. Kenapa kita perlu memilih akhawat yang sudah menjadi? Yang sudah sama siap berlari? Ini untuk matlamat dakwah yang panjang…

Tiba-tiba…

Satu tepukan lembut memutuskan perenungan Adib. Wahida menatapnya penuh tanda tanya. Adib tersenyum tipis.

" Abang tak dapat tidur, Penat sangat rasanya.Tadi tengah bersih-bersihkan komputer", jelas Adib sebelum Wahida sempat membuka mulut.

" Abang nak Wahida picit? Atau abang nak minum?" tawar Wahida dan siap sedia bangun.

" Tak payahlah. Abang…nak solat. Insya Allah lepas ni lebih bersemangat". Adib menepuk bahu isterinya dan bergegas ke bilik mandi.

" Wahida nak ikut", Wahida menyusul. " Wahida nak solat sama-sama dengan abang. Mudah-mudahan kita cepat dikurniakan anak", ujar Wahida manja.

Adib tersenyum lalu mengangguk.

Wahida berdoa agar mereka dikurniakan zuriat penyambung generasi rabbani. Adib berdoa agar diberikan kesabaran dan kekuatan dalam usaha membimbing keluarganya. Lebih-lebih lagi apabila nanti mereka benar-benar mendapatkan amanah. Dia sudah tahu, tidak ada lagi jalan mundur. Dia harus maju. Dan sebagai seorang qowwam, dia tidak mungkin maju sendiri-sendiri. Itulah bentuk tanggungjawabnya.

Malam semakin pekat dan dingin. Bunyi cengkerik berirama layaknya seperti okestra. Adib merasakan dadanya lebih lapang dan tenang.

SETAPAK INDAH
24 MEI 2006

Friday, August 17, 2007

Happy


Today i feel so happy
it is amusing how simple words can affect me,
turns rainy sunny,
turns gloomy shiny,
turns nobody somebody.

Oh God,
please make my wish reality,
in this world, or in the garden of al-firdausi.

happy mode,
amar-chan

Hati dan Kari

Hati yang hidup, sentiasa menyanyi
gurindam cinta, rindukan Ilahi
mesra di bibir, irama firdausi
Allahu rabbi, Allahu rabbi.

Hati yang mati
hanya layak diisi
di dalam kuah-kuah kari.

Suka makan kari tak suka makan hati,
Ibnu Umar,
Leeds.

Hati..


Assalamualaikum wrh wbt

Berikut merupakan beberapa ayat Al-Quran dan Hadith yang berkaitan dengan hati. Harap boleh mendapat manfaat darinya.

*********

"Orang-orang yang, apabila Allah diingatkan (disebut), hati mereka gementar, dan yang bersabar atas apa sahaja yang menimpa mereka, dan yang melakukan solat, dan menafkahkan daripada apa yang Kami merezekikan mereka."

(Surah Al-Hajj:35)

"Sesungguhnya orang yang beriman ituhanyalah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka."

(Surah Al-Anfal, ayat 2).

"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia."

(Surah al-Ra'd, ayat 28)


Demikianlah, dan sesiapa memuliakan tanda-tanda Allah, itu adalah daripada ketakwaan hati.

(Surah al-Hajj:32)

"Kemudian sesudah itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Padahal di antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya, dan ada pula di antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga di antaranya yang jatuh kebawah kerana takut kepada Allah, sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan."

(Surah Al-Baqarah:74)

"Apa, tidakkah mereka mengembara di bumi, supaya mereka ada hati untuk memahami dengannya, atau telinga untuk mendengar dengannya? Ia bukanlah mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati yang di dalam dada."

(Surah Al-Hajj:46)

"Supaya Dia membuatkan, apa yang syaitan melemparkan, satu cubaan bagi orang-orang yang di dalam hati mereka ada penyakit, dan orang-orang yang hati mereka keras; dan sesungguhnya orang-orang yang zalim adalah dalam perpecahan yang jauh."

(Surah Al-Hajj:57)


dan hadith

"Ketahuilah, bahawa di dalam diri anak Adam itu ada seketul daging, yang bila ianya baik maka baik seseorang itu, dan apabila buruk, buruklah amalan seseorang itu, ketahuilah, ia adalah hati" (Riwayat Muslim)

*********

Tuesday, August 14, 2007

Keindahan Gunung

Seorang anak begitu takjub melihat keindahan sebuah gunung, tinggi menjulang, biru dari kejauhan dan terkadang tertutupi awan dipuncaknya.

"Ayah, indah ya gunung itu. Mmm .. gunung itu apa ya?" tanyanya kepada sang ayah.

"Ya seperti yang Ahmad lihat itu.. kenapa Ahmad bertanya?" jawab Ayah.

"Maksud Ahmad, sebenarnya seperti apa gunung itu, dan ada apa sebenarnya disana ?"

Sang ayah seolah mengerti apa yang dimaksudkan anaknya, dan pada suatu hari dibawanya Ahmad berjalan-jalan mendaki sebuah pegunungan. Hingga pada akhirnya sampailah mereka berdua dipuncak gunung tersebut, sebuah dataran yg tidak terlalu luas dan berbatu.

"Mana gunung itu Ayah ?", tanyanya sambil menoleh kesana kemari.

" Ya disini, ditempat yang kamu injak sekarang itu adalah puncak dari gunung itu" jawab sang ayah yang menangkap raut kekecewaan dalam wajah Ahmad.

"Hanya begini saja gunung itu ?" balasnya.

Ikhwati sekalian, dalam kehidupan kita sehari-hari, terkadang kita melihat orang-orang besar dan berpengaruh di masyarakat adalah bagai gunung-gunung tersebut. Ikhwan & akhawat yang sedang belajar di institusi-institusi pengajian tinggi, baik di dalam mahupun luar negeri, dan ikhwah-ikhwah yang sedang menjawat jawatan tinggi dalam organisasi-organisasi, "sedang" dianggap gunung-gunung dalam kehidupan bermasyarakat saat ini.

Mari kita muhasabah dan baiki kembali diri kita baik peribadi, keluarga mahupun institusi. Sehingga ketika mereka mengenal kita dengan lebih dekat, khususnya dalam keseharian, keindahan yang mereka dapati bukanlah keindahan yang hanya luaran, yang hanya dapat dinikmati dari kejauhan, melainkan keindahan yang hakiki yang memang telah melekat dan menjadi kepribadian kita semua.

wallahua'lam

diambil dari Paksi.net

Surat Terbuka Untuk Ikhwan Fillah

[+] p/s: tujuan saya menukar tajuk entry ini ialah kerana ada seseorang dari website yg diragui kandungannya telah melink kan entry ini kepada website itu. untuk kebaikan blog ini dan pembaca sekalian saya mengambil tindakan untuk menukar link it. (aao)

Assalamualaikum wrh wbt


Rasanya sudah setengah tahun saya meninggalkan alam penulisan di blog ini. Kalau hendak diberikan alasan, bertimba-timba alasan boleh dicari, namun sikap mencari alasan itu ciri-ciri bagi mereka yang telah goyah imannya.

Nah, kali ini saya sajikan satu cerpen yang bagi saya amat menyentuh hati. Atau mungkin dalam frasa yang lebih tepat, 'terjatuh di atas batang hidung'. Hampir-hampir terpesek hidung ini dibuatnya. Jarang sekali saya mengcopy+paste artikel di blog ini, namun menurut hemah saya, cerpen ini sangat relevan dan penting untuk semua pembaca yang rata-ratanya masih di alam bujang.

Bacalah sebelum terlambat. :)

wallahua'lam


Surat Terbuka Buat Ikhwan Fillah

bismillahirrahmanirrahim...

Malam telah larut terbentang. Sunyi. Dan aku masih berfikir tentang dirimu, akhi. Jangan salah sangka ataupun menaruh prasangka. Semua semata-mata hanya untuk muhasabah terutama bagi diriku, makhluk yang Rasulullah SAW sinyalirkan sebagai pembawa fitnah terbesar.



Suratmu sudah kubaca dan disimpan. Surat yang membuatku gementar. Tentunya kau sudah tahu apa yang membuatku nyaris tidak boleh tidur kebelakangan ini.

"Ukhti, saya sering memperhatikan anti. Kalau sekiranya tidak dianggap lancang, saya berniat berta'aruf dengan anti."

Jujur kukatakan bahawa itu bukan perkataan pertama yang dilontarkan ikhwan kepadaku. Kau orang yang kesekian. Tetap saja yang 'kesekian' itu yang membuatku diamuk perasaan tidak menentu. Astaghfirullahaladz im. Bukan, bukan perasaan melambung kerana merasakan diriku begitu mendapat perhatian. Tetapi kerana sikapmu itu mencampak ke arah jurang kepedihan dan kehinaan. 'Afwan kalau yang terfikir pertama kali di benak bukannya sikap memeriksa, tapi malah sebuah tuduhan: ke mana ghaddhul bashar-mu?

Akhifillah,
Alhamdulillah Allah mengurniakan dzahir yang jaamilah. Dulu, di masa jahiliyah, kurniaan itu sentiasa membawa fitnah. Setelah hijrah, kufikir semua hal itu tidak akan berulang lagi. Dugaanku ternyata salah. Mengapa fitnah ini jesteru menimpa orang-orang yang kuhormati sebagai pengemban risalah da'wah? Siapakah yang salah di antara kita?

####

"Adakah saya kurang menjaga hijab, ukh?" tanyaku kepada Aida, teman sebilikku yang sedang mengamati diriku. Lama. Kemudian, dia menggeleng.

"Atau baju saya? Sikap saya?"

"Tidak, tidak," sergahnya menenangkanku yang mulai berurai air mata.
"Memang ada perubahan sikap di kampus ini."

"Termasuk diri saya?"
"Jangan menyalahkan diri sendiri meskipun itu bagus, sentiasa merasa kurang iman. Tapi tidak dalam hal ini. Saya cukup lama mengenali anti dan di antara kita telah terjalin komitmen untuk saling memberi tausiyah jika ada yang lemah iman atau salah. Ingat?"

Aku mengangguk. Aida menghela nafas panjang.

"Saya rasa ikhwan itu perlu diberi tausiyah. Hal ini bukan perkara baru kan ? Maksud saya dalam meng-cam akhwat di kampus." Sepi mengembang di antara kami. Sibuk dengan fikiran masing-masing… .

"Apa yang diungkapkan dalam surat itu?"

"Ia ingin berta'aruf. Katanya dia sering melihat saya memakai jilbab putih. Anti tahu bila dia bertekad untuk menulis surat ini? Ketika saya sedang menjemur pakaian di depan rumah! Masya Allah…. dia melihat sedetail itu."

"Ya.. di samping itu tempoh masa anti keluar juga tinggi."

"Ukhti…," sanggahku, "Anti percaya kan kalau saya keluar rumah pasti untuk tujuan syar'ie?"

"InsyaAllah saya percaya. Tapi bagi anggapan orang luar, itu masalah yang lain."

Aku hanya mampu terdiam. Masalah ini sentiasa hadir tanpa ada suatu penyelesaian. Jauh dalam hati selalu tercetus keinginan, keinginan yang hadir semenjak aku hijrah bahawa jika suatu saat ada orang yang memintaku untuk mendampingi hidupnya, maka hal itu hanya dia lakukan untuk mencari keridhaan Rabb-nya dan dien-ku sebagai tolok ukur, bukan wajahku. Kini aku mulai risau mungkinkah harapanku akan tercapai?

####

Akhifillah,
Maaf kalau saya menimbulkan fitnah dalam hidupmu. Namun semua bukan keinginanku untuk beroleh wajah seperti ini. Seharusnya di antara kita ada tabir yang akan membersihkan hati dari penyakitnya. Telah kucuba dengan segenap kemampuan untuk menghindarkan mata dari bahaya maksiat. Alhamdulillah hingga kini belum belum hadir sosok putera impian yang hadir dalam angan-angan. Semua kuserahkan kepada Allah ta'ala semata.

Akhi,
Tentunya antum pernah mendengar hadits yang tersohor ini. Bahawa wanita dinikahi kerana empat perkara: kecantikannya, hartanya, keturunannya, atau diennya. Maka pilihlah yang terakhir kerana ia akan membawa lelaki kepada kebahagiaan yang hakiki.

Kalaulah ada yang mendapat keempat-empatnya, ibarat ia mendapat syurga dunia. Sekarang, apakah yang antum inginkan? Wanita shalihah pembawa kedamaian atau yang cantik tapi membawa kesialan? Maaf kalau di sini saya terpaksa berburuk sangka bahawa antum menilai saya cuma setakat fizik belaka. Bila masanya antum tahu bahawa dien saya memenuhi kriteria yang bagus? Apakah dengan melihat frekuensi kesibukan saya? Tempoh di luar rumah yang tinggi?

Tidak. Antum tidak akan pernah tahu bila masanya saya berbuat ikhlas lillahi ta'ala dan bila masanya saya berbuat kerana riya'. Atau adakah antum ingin mendapatkan isteri wanita cantik yang memiliki segudang prestasi tetapi akhlaknya masih menjadi persoalan? Saya yakin sekiranya antum diberikan pertanyaan demikian, nescaya tekad antum akan berubah.

Akhifillah,
Tanyakan pada setiap akhawat kalau antum mampu. Yang tercantik sekalipun, maukah ia diperisterikan seseorang kerana dzahirnya belaka? Jawapannya, insya Allah tidak. Tahukah antum bahawa kecantikan zahir itu adalah mutlak pemberian Allah; Insya Allah antum tahu. Ia satu anugerah yang mutlak yang tidak boleh ditawar-tawar jika diberikan kepada seseorang atau dihindarkan dari seseorang. Jadi, manusia tidak mendapatkannya melalui pengorbanan. Lain halnya dengan kecantikan bathiniyyah. Ia melewati proses yang panjang. Berliku. Melalui pengorbanan dan segala macam pengalaman pahit. Ia adalah intisari dari manisnya kata, sikap, tindak tanduk dan perbuatan. Apabila seorang lelaki menikah wanita kerana kecantikan batinnya, maka ia telah amat sangat menghargai perjuangan seorang manusia dalam mencapai kemuliaan jati dirinya. Faham?

Akhifillah,
Tubuh ini hanya pinjaman yang terpulang pada-Nya bila-bila masa mengambilnya. Tapi ruh, kecantikannya menjadi milik kita yang abadi. Kerananya, manusia diperintahkan untuk merawat ruhiyahnya bukan hanya jasmaninya yang boleh usang dan koyak sampai waktunya.

Akhifillah,
Kalau antum ingin mencari akhawat yang cantik, antum juga seharusnya menilai pihak yang lain. Mungkin antum tidak memerhatikannya dengan teliti. (Alhamdulillah, tercapai maksudnya untuk keluar rumah tanpa menimbulkan perhatian orang). Pakaiannya sederhana, ia hanya memiliki beberapa helai. Dalam waktu seminggu antum akan menjumpainya dalam jubah-jubah yang tidak banyak koleksinya. Tempoh masanya untuk keluar rumah tidak lama. Ia lebih suka memasak dan mengurus rumah demi membantu kepentingan saudari-saudarinya yang sibuk da'wah di luar. Ia nyaris tidak mempunyai keistimewaan apa-apa kecuali kalau antum sudah melihat shalatnya. Ia begitu khusyu'. Malam-malamnya dihiasi tahajjud dengan uraian air mata. Dibaca Qur'an dengan terisak. Ia begitu tawadhu' dan zuhud. Ah, saya iri akan kedekatan dirinya dengan Allah. Benar, ia mengenal Rabbnya lebih dari saya. Dalam ketenangannya, ia tampak begitu cantik di mata saya. Beruntung ikhwan yang kelak memperisterikannya… (saya tidak perlu menyebut namanya.)

####

Malam semakin beranjak. Kantuk yang menghantar ke alam tidur tidak menyerang saat surat panjang ini belum usai. Tapi, sudah menjadi kebiasaanku tidak boleh tidur tenang bila saudaraku tercinta tidak hadir menemani. Aku tergugat apabila merasakan bantal dan guling di samping kanan telah kehilangan pemilik. Rasa penat yang belum terneutral menyebabkan tubuhku terhempas di sofa.

Aida sedang diam dalam kekhusyu'kan. Wajahnya begitu syahdu, tertutup oleh deraian air mata. Entah apa yang terlintas dalam qalbunya. Sudah pasti ia merasakan aku tidak hairan saat menyaksikannya. Tegak dalam rakaatnya atau lama dalam sujudnya.

"Ukhti, tidak solat malam? " tanyanya lembut seusai melirik mata.

"Ya, sekejap," kupandang wajahnya. Ia menatap jauh keluar jendela ruang tamu yang dibiarkan terbuka. "Dzikrul maut lagi?"

"Khusnudzan anti terlalu tinggi."

Aku tersenyum. Sikap tawadhu'mu, Aida, menyebabkan bertambah rasa rendah diriku. Angin malam berhembus dingin. Aku belum mahu beranjak dari tempat duduk. Aida pun nampaknya tidak meneruskan shalat. Ia kelihatan seperti termenung menekuri kegelapan malam yang kelam.

"Saya malu kepada Allah," ujarnya lirih.
"Saya malu meminta sesuatu yang sebenarnya tidak patut tapi rasanya keinginan itu begitu mendesak dada. Siapa lagi tempat kita meminta kalau bukan diri-Nya?"

"Apa keinginan anti, Aida?"
Aida menghela nafas panjang.

"Saya membaca buku Syeikh Abdullah Azzam pagi tadi," lanjutnya seolah tidak menghiraukan. "Entahlah, tapi setiap kali membaca hasil karyanya, selalu hadir simpati tersendiri. Hal yang sama saya rasakan tiap kali mendengar nama Hasan al-Banna, Sayyid Quthb atau mujahid lain saat nama mereka disebut. Ah, wanita macam mana yang dipilihkan Allah untuk mereka? Tiap kali nama Imaad Aql disebut, saya bertanya dalam hati: Wanita macam mana yang telah Allah pilih untuk melahirkannya?"

Aku tertunduk dalam-dalam.

"Anti tahu," sambungnya lagi, "Saya ingin sekiranya boleh mendampingin orang-orang sekaliber mereka. Seorang yang hidupnya semata-mata untuk Allah. Mereka tak tergoda rayuan harta dan benda apalagi wanita. Saya ingin sekiranya boleh menjadi seorang ibu bagi mujahid-mujahid semacam Immad Aql…"

Air mataku menitis perlahan. Itu adalah impianku juga, impian yang kini mulai kuragui kenyataannya. Aida tak tahu berapa jumlah ikhwan yang telah menaruh hati padaku. Dan rasanya hal iti tak berguna diketahui. Dulu, ada sebongkah harapan kalau kelak lelaki yang mendampingiku adalah seorang mujahid yang hidupnya ikhlas kerana Allah. Aku tak menyalahkan mereka yang menginginkan isteri yang cantik. Tidak. Hanya setiap kali bercermin, ku tatap wajah di sana dengan perasaan duka. Setakat inikah nilaiku di mata mereka? Tidakkah mereka ingin menilaiku dari sudut kebagusan dien-ku?

"Ukhti, masih tersisakah ikhwah seperti yang kita impikan bersama?" desisku.

Aida meramas tanganku. "Saya tidak tahu. Meskipun saya sentiasa berharap demikian. Bukankah wanita baik untuk lelaki baik dan yang buruk untuk yang buruk juga?"

"Anti tak tahu," air mata mengalir tiba-tiba. "Anti tak tahu apa-apa tentang mereka."

"Mereka?"

"Ya, mereka," ujarku dengan kemarahan terpendam. "Orang-orang yang saya kagumi selama ini banyak yang jatuh berguguran. Mereka menyatakan ingin ta'aruf. Anti tak tahu betapa hancur hati saya menyaksikan ikhwan yang qowiy seperti mereka takluk di bawah fitnah wanita."

"Ukhti!"

"Sungguh, saya terfikir bahawa mereka yang aktif da'wah di kampus adalah mereka yang benar-benar mencintai Allah dan Rsulnya semata. Ternyata mereka mempunyai sekelumit niat lain."

"Ukhti, jangan su'udzan dulu. Setiap manusia punya kelemahan dan saat-saat penurunan iman. Begitu juga mereka yang menyatakan perasaan kepada anti. Siapa yang tidak ingin punya isteri cantik dan shalihah?"

"Tapi, kita tahukan bagaimana prosedurnya?"

"Ya, memang…"

"Saya merasa tidak dihargai. Saya berasa seolah-olah dilecehkan. Kalau ada pelecehan seksual, maka itu wajar kerana wanita tidak menjaga diri. Tapi saya…. Samakah saya seperti mereka?"

"Anti berprasangka terlalu jauh."

"Tidak," aku menggelengkan kepala. "Tiap kali saya keluar rumah, ada sepasang mata yang mengawasi dan siap menilai saya mulai dari hujung rambut -maksud saya hujung jilbab- hingga hujung sepatu. Apakah dia fikir saya boleh dinilai melalui nilaian fizik belaka.."

"Kita berharap agar ia bukan jenis ikhwan seperti yang kita maksudkan."

"Ia orang yang aktif berda'wah di kampus ini, ukh."

Aida memejamkan mata. Bisa kulihat ujung matanya basah. Kurebahkan kepala ke bahunya. Ada suara lirih yang terucap,

"Kasihan risalah Islam. Ia diemban oleh orang-orang seperti kita. Sedang kita tahu betapa berat perjuangan pendahulu kita dalam menegakkannya. Kita disibukkan oleh hal-hal sampingan yang sebenarnya telah diatur Allah dalam kitab-Nya. Kita tidak menyibukkan diri dalam mencari hidayah. Kasihan bocah-bocah Palestin itu. Kasihan saudara-saudara kita di Bosnia . Adakah kita boleh menolong mereka kalau kualiti diri masih seperti ini? Bahkan cinta yang seharusnya milik Allah masih berpecah-pecah. Maka, kekuatan apa yang kita ada?"

Kami saling bertatapan kemudian. Melangkau seribu makna yang tidak mampu dikatakan oleh kosa kata. Ada janji. Ada mimpi. Aku mempunyai impian yang sama seperti Aida: mendukung Islam di jalan kami. Aku ingin mempunyai anak-anak seperti Asma punyai. Anak-anak seperti Immad Aql. Aku tahu kualiti diri masih sangat jauh dari sempurna. Tapi seperti kata Aida; Meskipun aku lebih malu lagi untuk meminta ini kepada-Nya. Aku ingin menjadi pendamping seorang mujahid ulung seperti Izzuddin al-Qassam.

####

Akhifillah,
Mungkin antum tertawa membaca surat ini. Ah akhawat, berapa nilaimu sehingga mengimpikan mendapat mujahid seperti mereka? Boleh jadi tuntutanku terlalu besar. Tapi tidakkah antum ingin mendapat jodoh yang setimpal? Afwan kalau surat antum tidak saya layani. Saya tidak ingin masalah hati ini berlarutan. Satu saja yang saya minta agar kita saling menjaga sebagai saudara. Menjaga saudaranya agar tetap di jalan yang diridhai-Nya. Tahukah antum bahawa tindakan antum telah menyebabkan saya tidak lagi berada di jalan-Nya? Ada riya', ada su'udzhan, ada takabur, ada kemarahan, ada kebencian, itukah jalan yang antum bukakan untuk saya, jalan neraka? –'Afwan.

Akhifillah,
Surat ini seolah menempatkan antum sebagai tertuduh. Saya sama sekali tidak bermaksud demikian. Kalau antum mahu cara seperti itu, silakan. Afwan, tapi bukan saya orangnya. Jangan antum kira kecantikan lahir telah menjadikan saya merasa memiliki segalanya. Jesteru, kini saya merasa iri pada saudari saya. Ia begitu sederhana. Tapi akhlaknya bak lantera yang menerangi langkah-langkahnya. Ia jauh dari fitnah. Sementara itu, apa yang saya punyai sangat jauh nilainya. Saya bimbang apabila suatu saat ia berhasil mendapatkan Abdullah Azzam impiannya, sedangkan saya tidak.

Akhifillah,
'Afwan kalau saya menimbulkan fitnah bagi antum. Insya Allah saya akan lebih memperbaiki diri. Mungkin semua ini sebagai peringatan Allah bahawa masih banyak amalan saya yang riya' maupun tidak ikhlas. Wallahua'lam. Simpan saja cinta antum untuk isteri yang telah dipilihkan Allah. Penuhilah impian ratusan akhawat, ribuan ummat yang mendambakan Abdullah Azzam dan Izzuddin al-Qassam yang lain. Penuhilah harapan Islam yang ingin generasi tangguh seperti Imaad Aql. Insya Allah antum akan mendapat pasangan yang bakal membawa hingga ke pintu jannah.

Akhifillah,
Malam bertambah-dan bertambah larut. Mari kita shalat malam dan memandikan wajah serta mata kita dengan air mata. Mari kita sucikan hati dengan taubat nasuha. Pesan saya, siapkan diri antum menjadi mujahid. Insya Allah, akan ada ratusan Asma dan Aisyah yang akan menyambut uluran tangan antum untuk berjihad bersama-sama.

Yang terakhir, akhi, saudara seaqidahku, saya persembahkan bingkisan indah sebuah syair karya pujangga besar Muhammad Iqbal. Semoga menjadi renungan kita bersama untuk lebih meningkatkan ketaqwaan dan keimanan.



IDEALNYA SEORANG PEMUDA

Ia peribadi yang muslim,
Berhati emas,
Berpotensi prima,
Yang di kala damai
Anggun petaka kijang dari padang perburuan
Yang di kala perang
Perkasa bak harimau kumbang
Ia perpaduan manis hempedu
Satu kali dengan kawan
Lain kali dengan lawan
Yang lembut dalam berbahasa
Yang teguh membawa suluh
Angannya sederhana
Citanya mulia
Tinggi keutamaan dalam hati-hati
Tinggi budi, rendah hati
Ia lah sutera halus di tengah sahabat tulus
Ia lah baja
Ditentangnya musuh durhaka
Ia ibarat gerimis atau embun tiris
Yang memekarkan bunga-bunga
Yang melambaikan tangkai-tangkai
Ia juga puting beliung
Yang melemparkan ombak menggunung
Yang menggoncangkan laut ke relung-relung
Ia lah gemercik air ditaman sari, asri
Ia juga penumbang segala belantara
Segala sahara
Ia lah pertautan agung iman Abu Bakar
Perkasa Ali
Papa Abu Dzar
Teguhnya Salman
Mendirinya di tengah massa yang bergoyang
Ibarat lentera ulama di tengah gulita sahara
Ia pilih syahid fisabilillah atas segala kerusi dan upeti
Ia manuju bintang
Menggapai malaikat
Ia tentang tindak kuffar
Pola aniaya di mana saja
Maka nilainya pun membumbung tinggi
Harganya semakin tak terperi
Maka siapakah yang akan sanggup membelinya
Kecuali Rabb-nya?

Sunday, August 12, 2007

E-mail Tuhan

Assalamualaikum wrh wbt

Minggu ini minggu puisi :)

Sukalah saya ingin berkongsi satu puisi yang sangat dekat di hati ini. Puisi ini tulisan seorang akh yang pernah satu ketika dulu tinggal di UK. Harap kita sama-sama mengambil manfaat dari tulisan beliau.




E-mail dari Tuhan

Apa gerangan merasa segan

tekun membaca e-mail Tuhan

bermula di kanan berakhir di kiri

dari mulut langsung ke sanubari

maya di hati, pasti dalam realiti

ibarat helai helaian preskripsi

syifa', penawar, pengubat hati


1 Februari 2002
Abu Zaid

Saturday, August 11, 2007

Dua Hemisfera

Dua hemisfera dekat jaraknya jika diukur dalam unit ukhuwah*.

Puisi kanak-kanak di bawah, diberi nafas baru oleh seorang sahabat.

Berminat?

Boleh sambung baca di sini.


*ukhuwah = persaudaraan. unit baru yang tidak diiktiraf oleh sistem Unit S.I.