Monday, December 31, 2007

Babi halal

Babi haram
adalah jauh lebih mulia
dari baby halal
yang berani
menghalal segala haram.

Jika
halal dan haram
adalah siang dan malam
maka
halalkan yang haram
adalah gerhana kelam
taubat itulah suria
yang mencuci semesta alam.


Babi halal dan baby haram
adalah dua horizon kisah
bersatu dalam jurang hitam
dalam dunia merah senja berdarah.

Ibnu Umar

Sunday, December 30, 2007

Kita menyeru kepada Allah

Assalamualaikum wrh wbt

Teman-teman sekalian, saya dalam usaha menulis satu esei tentang tajuk di atas. Mohon doa agar disucikan hati dari dakwat jahiliyyah.

wslm

Saturday, December 29, 2007

Mahalnya Neraka

Wahai kawan
beri aku modal sejuta
buat bekal beli neraka.

Mahal sungguh saham dosa
perlu wang azam usaha
mahu zina perlu betina
mahu mabuk perlu khamar
mahu syirik perlu berhala
mahu curi perlu tenaga
mahu judi perlu duitnya.

Alangkah mudah jalan ke syurga
hanya perlu jadi
hamba
sujud kepada Yang
Maha segala Maha
Pencipta, Penguasa,
Hakim Adil lagi Saksama.

Dengar kawan aku bertanya,
esok di Akhir,
engkau di mana?

yang mencari-cari jalan ke sorga,
ibnu umar

Wednesday, December 19, 2007

Otak saya.

Ini otak saya.
Otak anda, bagaimana pula?
Lawati laman web di bawah untuk mengetahuinya.

Tuesday, December 18, 2007

Menjawab persoalan


Art: If the object of poetry is, to make men, then poetry is the heir of prophecy.


-Allama, Sir Muhammad Iqbal

Philosopher, Politician, Reformist, Poet, Lawyer.

Sayap cinta-air mata

Cinta dan air mata,
adalah sepasang sayap,
yang tak pernah sunyi,
menari mencari menggali,
bayu lembut rima syurgawi.

Sayap kerdil itu,
takkan pernah jemu,
memeluk badai mencium gelora,
kerana cinta,
layak dicagar hanya,
dengan air mata,
dan air mata,
dapat ditawar cuma,
oleh cinta.

Bayu pun berbisik,
janji Tuhan dilupa jangan,
selepas susah ada kesenangan,
selepas kalah ada kemenangan.

Cinta dan air mata,
adalah sepasang sayap,
yang jarang terbang lari,
dari Abu Bakar, Umar, Usman dan Ali,
dari kudus hati para wali,
dari kental jiwa para dai'e,
dari zikir tasbih para sufi,
dari fikir hikmah para mufti,
dari mersik merdu suara qari,
dari khusyuk sujud para abid,
dan peluh darah para syahid,
yang mendamba cinta hakiki,
dari Ilahi.

Sayap itu kini,
terbang lagi,
mencari menari menggali,
hati - hati,
yang kudus tulus suci,
pemburu janji Ilahi,
perindu tegar syurga abadi.

Amar Amir Omar,
IIUM, Gombak.

Tuna Lautan Insan (Edited version)

Karam di Lautan Insan,
Lubuk berdiam tuna jadian.

Ada mata tuna netra,
ada kerja tuna karya,
ada hati tuna cahaya,
ada baju tuna busana,
ada adab tuna susila.

Alangkah mulia sandwich tuna,
berbanding insan bertuhan dunia,
yang kenal rabb lupa ilahnya.

Pintaku padamu tuna,
mampirlah dikau ke samudera,
dunia ini tercipta hanya,
buat hamba,
yang kenal Rabb, cinta Ilahnya.

yang tak mahu jumpa tuna pada hari raya,
Amar Amir Omar
Kuala Lumpur.

p/s: Maksud perkataan tuna boleh dirujuk di kamus dewan
p/s2: Maksud perkataan Rabb dan Ilah boleh dirujuk kepada naqib/naqibah masing-masing atau buku Said Hawwa "ALLAH". (rujuk mengenai takrif Tauhid Rububiyah (Rabb) dan Tauhid Uluhiyah (Ilah).

Saturday, December 01, 2007

Desa Puisi Lupa

Bertandang ke Desa Puisi Lupa,
kampung halaman selaksa karya,
tempat berdiam para masterpiece,
tetapi sayang lupa ditulis.

Di sana, Desa Puisi Lupa,
bertinta selautan cinta,
berlatar putihnya mega,
jadi siulan seluruh mergastua.

Selagi nyawa karyawan nyanyuk berhembus,
Selagi itulah, syurga puisi tak akan pupus.

Tulisan kecil ini,
tak layak lagi mengisi,
taman puisi kekal nan abadi.

yang banyak 'ter'menyimpan puisi di sana, pasal kurang kertas dan pena,
amar chan